KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) melakar sejarah apabila buat julung kali diketuai wartawan wanita selepas memenangi pemilihan jawatan presiden persatuan itu sempena Mesyuarat Dwi Tahunan SJA, di sini, pada Ahad.
Wartawan Borneo Post, Mariah Doksil, memenangi jawatan itu tanpa dicabar, menggantikan penyandangnya, Datuk Muguntan Vanar dari The Star.
Mengulas tugas baharunya itu, Mariah berkata pemilihannya tidak mungkin berlaku tanpa kepercayaan rakan ahli dalam SJA terhadap kepemimpinannya.
“Saya amat berbesar hati kerana dipilih sebagai presiden wanita pertama persatuan kita. Ini tidak mungkin berlaku tanpa kepercayaan dan sokongan semua terhadap apa yang kita boleh capai bersama.
“Terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam proses dan membantu membentuk barisan baharu SJA.
“Mari teruskan menggunakan kumpulan ini sebagai ruang selamat untuk berkongsi idea, menawarkan cadangan dan bekerjasama untuk membawa persatuan kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Kepemimpinan baharu SJA turut dibarisi Naib Presiden, Ricardo Unto (Daily Express); Setiasausaha, Siti Aisyah Narudin (Utusan Borneo); pembantu Setiausa, Mohd Nazllie Zainul (Daily Express); Bendahari, Angela Tan Giok Seh (Sin Chew Daily) dan penolong Bendahari, Nancy Lai (Borneo Post).
Ahli Jawatankuasa (AJK) pula dibarisi oleh Vivi Olviana Najurus (Utusan Borneo), Fardy Bungga (Nabalu News), Sandra Sokial (The Star), Jegathisan Sivanesan (Borneo Post) dan Stephanie Lee (The Star).
Sementara itu, Muguntan yang mengetuai SJA sejak 2017 dilantik sebagai penasihat persatuan. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan