Lelaki bawa rokok seludup ditahan polis

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup rokok dalam satu serbuan di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, semalam.

Serbuan jam 1.50 pagi itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau merampas pelbagai jenis rokok mencecah ribuan ringgit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan menahan sebuah van dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas van itu menemukan pelbagai jenis rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Seorang lelaki yang juga pemandu van terbabit turut ditahan di lokasi serbuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar barangan seludup dan sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan yang terbabit.

“Nilai rampasan masih dalam proses penilaian, namun dipercayai mencecah ribuan ringgit berdasarkan jumlah kotak rokok yang ditemui.

“Suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi cukai, tetapi juga boleh membawa kepada aktiviti jenayah lain.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan mereka bagi membanteras kegiatan haram ini,” katanya. –Utusab Borneo