SANDAKAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan mengenal pasti beberapa kawasan yang disyaki menyumbang kepada kenaikan jumlah harian kes COVID-19 baharu di daerah ini, kata Timbalan Pengerusinya ACP Mohd Azhar Hamin, kelmarin.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan akan menjalankan ujian saringan COVID-19 yang disasarkan di kawasan tersebut bagi mengekang penularan virus itu.
“Kementerian Kesihatan berterusan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti daerah mana yang menyumbang kenailkan kes COVID-19 harian, di Sandakan.
“Sekiranya kita mengesan kawasan yang cenderung menyumbang kenaikan kes, ujian saringan awam akan djalankan kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas memantau ujian saringan awam COVID-19 di Pulau Berhala dekat sini.
Pulau Berhala diisytiharkan sebagai kluster baharu COVID-19 pada 6 Dis lepas dengan kes positif dikesan sejak 20 Nov.
Mohd Azhar, yang juga Ketua Polis Daerah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan akan terus berusaha memutuskan rantai jangkitan COVID-19, meskipun jumlah harian kes berkurangan sejak beberapa hari lepas.
Beliau juga meminta semua lapisan penduduk Sandakan agar menepis tanggapan negatif mengenai ujian saringan umum COVID-19 secara percuma, yang dikatakan tidak selesa ketika menjalani ujian saringan itu kerana mereka juga perlu berperanan dalam mengekang penularan wabak berkenaan.
Sandakan telah merekodkan kes baharu dua digit setiap hari selepas kes tiga digit terakhir sebanyak 176 dilaporkan pada 28 Nov lepas. -Bernama

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ