Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya menumpaskan satu kegiatan aktiviti mengebom ikan di Perairan Taburan, Kota Belud, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasukan PPM turut berjaya menahan tiga individu berusia lingkungan 26 hingga 52 tahun bersama beberapa peralatan mengebom ikan.
Kegiatan berkenaan dapat dipatahkan hasil operasi Op Benteng dan Op Gelora Khas yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai PPM.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pasukan PPM berjaya merancang satu operasi teliti bagi menumpaskan aktiviti berkenaan.
Katanya, ketika rondaan di kawasan sasaran, pihaknya mengesan dua bot pam dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di perairan berkenaan.
“Pasukan PPM kemudiannya melancarkan operasi dengan mengejar bot pam yang dinaiki tiga lelaki terbabit sebelum berjaya ditahan sejurus selepas itu.
“Sebaik ditahan, pemeriksaan berjaya menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti mengebom ikan termasuk dua unit detonator siap dipasang bersama fius keselamatan serta berisi baja jenis Ammonium Nitrate,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Roslan berkata, pihaknya turut merampas empat botol kaca, mancis kayu dan 10 kilogram pelbagai jenis ikan yang disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.
Manakala katanya, sebuah lagi bot pam dinaiki dua lelaki yang memecut laju ke arah Pulau Silad, di sini, pula ditinggalkan di pesisir pantai pulau berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan berjaya menemui satu botol berisi baja Ammonium Nitrate bersama cermin selam, jaring ikan, serta lima kilogram pelbagai jenis ikan yang turut disyaki diperoleh dengan keadah mengebom ikan.
“Semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya.
Roslan berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin serta peralatan lain dianggarkan berjumlah RM32,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.
“Pasukan Polis Marin amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya supaya menyalurkan maklumat untuk tindakan pembanterasan kegiatan melanggar undang-undang.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ