Bekas kakitangan JTU dan Penolong Juruukur Didakwa Minta Wang Suapan Berkait Permohonan Tanah

TAWAU: Dua bekas penjawat awam hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau atas dua pertuduhan berasingan kerana didakwa meminta wang suapan berkait urusan permohonan dan bancian tanah di daerah Kunak dan Lahad Datu, Sabah.

Kedua-dua tertuduh iaitu Smith A. Lewas Simon, 56, bekas Penolong Juruukur di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak, dan Lusiwoi Kisa, 62, bekas Pembantu Tadbir di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing yang dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Smith didakwa pada penghujung Mei 2016, sekitar jam 8 malam, telah meminta wang tunai sebanyak RM54,000 daripada Goefle Joseph sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah baharu bagi 27 peserta Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB) Kunak, selepas bancian lot dijalankan.

Lusiwoi pula didakwa sekitar Jun 2016 kerana meminta RM12,000 daripada Cornilius Jomol Terence sebagai balasan untuk menjalankan bancian terhadap lot tanah yang belum wujud atas nama 16 peserta dalam skim yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Smith dikenakan jaminan RM10,000 dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan.

Lusiwoi pulq dikenakan jaminan RM6,000 dengan deposit RM2,000 dan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa mereka, tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan.

Kes akan disebut semula pada 11 September 2025 untuk pengurusan kes di bawah Seksyen 51(A) Kanun Tatacara Jenayah.

Kes ini dikendalikan oleh TPR Nurul Izzati Sapifee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing.