9 PATI warga Pakistan ditahan Imigresen

KOTA KINABALU: Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam empat serbuan berasingan sekitar Kota Belud, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, JIM Sabah memaklumkan operasi itu dijalankan oleh 33 pegawai Bahagian Penguatkuasaan yang memeriksa seramai 27 individu warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan lelaki dewasa warga Pakistan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semua warga asing terbabit disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, JIM Sabah turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI tanpa kebenaran sah.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X