KOTA KINABALU: Tabika Kemas Sabah Electricity yang kini beroperasi di Kompleks Kuwasa, Karamunsing melahirkan 975 murid sejak pembukaannya pada 1986 dengan ada antara mereka kini bertugas di syarikat utiliti itu.
Sejajar dengan kepentingan pendidikan awal itu dalam melahirkan modal insan, Sabah Electricity tidak ketinggalan memberikan sokongan terhadap perkembangan Tadika Kemasnya sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata ia termasuk pengubahsuaian kelas tabika bagi menjadikannya lebih kondusif dan mesra kanak-kanak di premis baharunya di Bangunan Kuwasa.
Beliau berkata, dengan adanya kelas Tabika Kemas di premis Sabah Electricity, secara tidak langsung dapat membantu anggota kerja syarikat itu untuk menghantar anak mereka ke pra-sekolah dalam satu premis yang sama dengan pejabat mereka.
“Perpindahan pejabat baharu Sabah Electricity ke Bangunan Kuwasa pada Oktober tahun lalu turut memberi ruang kepada Tabika Kemas mendapat ruang kelas yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Kunci Tabika Kemas Sabah Electricity kepada guru dan penyelianya, Faridah Kassim di Bangunan Kuwasa pada Selasa.
Mohd Yaakob menyatakan harapannya agar persekitaran yang baharu dan kondusif untuk anak pra-sekolah itu dapat dimanfaatkan dan menjadi contoh kepada Tabika Kemas yang lain.
“Saya berharap suasana kelas yang baharu ini akan meningkatkan semangat tenaga pengajar dan anak-anak yang belajar di sini untuk belajar dengan lebih tekun di awal pendidikan mereka,” katanya.
Pada majlis yang ringkas itu, Mohd Yaakob turut menghulurkan sumbangan duit raya kepada murid Tabika Kemas Sabah Electricity. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan