BEKAS PENIAGA MENGHADAPI 98 PERTUDUHAN MENERIMA WANG DEPOSIT TANPA LESEN BERJUMLAH RM 2.8 JUTA

OLEH KAHAR ALI

SANDAKAN – Seorang bekas peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 98 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen untuk skim pelaburan tidak wujud berjumlah RM2.8 Juta.

Liew Ket Haw , 31, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Herlina Musa selepas pertuduhan tersebut dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Sze Chuen.

Liew didakwa di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana melakukan kegiatan berkenaan sekitar April hingga September 2017 di Sandakan. 

Beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Disember 23. 

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM 50 juta  atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Hakim Herlina membenarkan tertuduh diikat jamin RM98,000 dengan deposit sebanyak RM20,000 serta dua penjamin warga tempatan.

Mahkamah telah menetapkan 6 Februari 2020 untuk pengurusan kes.  Liew diwakili peguam Rowiena Rasid.