Belia Islam disaran agresif guna teknologi digital perkasakan ekonomi masjid dan surau

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Golongan belia Islam disaran lebih agresif menggunakan teknologi digital dan e-dagang bagi memperkasakan peranan masjid-masjid dan surau-surau di negara ini sebagai satu daripada tempat penjanaan ilmu dan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata terdapat masjid dan surau-surau di seluruh negara yang masih lagi ketinggalan dan tidak mengambil kesempatan kemajuan teknologi IT terutama masjid-masjid dan surau-surau lama yang kawasannya terhad untuk aktiviti keilmuan dan penjanaan ekonomi.

“Untuk masjid-masjid baharu kita tahu banyak yang telah menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi, koperasi dan majlis-majlis ilmu kerana ada kawasan yang luas.

“Justeru saya galakkan supaya belia-belia (Islam) dapat menggunakan teknologi baru seperti Artificial Intelligence, e-commerce, online application..ini semua boleh membantu menjana ekonomi masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1.93 juta kepada masjid-masjid dan surau-surau dalam Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa dalam ucapannya berkata umat Islam tidak ada pilihan selain ‘mendakap’ segera kemajuan teknologi digital bagi memperkasakan ekonomi dan meningkatkan ilmu pengetahuan bagi mendepani pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.

Ia sekaligus dapat membangkitkan semula kemajuan umat Islam menerusi penggabungan tenaga yang diperoleh dari para jemaah yang mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau.

“Masjid dan surau tempat terbaik (kemajuan ekonomi) sebab ia menjadi tumpat tumpuan dan berhimpun umat Islam…semua kepakaran dan pengalaman dapat digembleng sekali bagi menambah kekuatan umat Islam dalam bidang keilmuan dan (penjanaan) ekonomi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di negara ini menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelang sebagai bulan kembali kepada fitrah dengan membudayakan amalan nilai-nilai murni dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

“Jadikan bulan Ramadan ini sebagai tempat kita kembali untuk menggilap nilai-nilai murni, saling hormat menghormati kerana Islam itu agama yang indah dan harmoni.

“Jika kita faham Islam sebenarnya, kita tidak akan terjebak dalam kegiatan radikal atau ektremisme yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam keadaan masyarakat kita yang rencam (majmuk) ini.. saya yakin jika ini terus menjadi amalan kita dapat bangkit semula menjadi umat yang cemerlang dan menjadi contoh kepada orang lain sebab Islam itu agama yang syumul dan lengkap,” katanya.

— BERNAMA

[ad_2]