KOTA KINABALU: Rasa hairan seorang lelaki selepas bapa saudaranya gagal dihubungi akhirnya terungkai apabila mayat hampir reput ditemukan di rumah kuarters sebuah agensi kerajaan di Jalan Sulaman, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat lelaki warga emas berumur 66 tahun itu ditemukan sebaik anak saudaranya yang bertugas di luar kawasan sejak lima hari lalu pulang ke rumah berkenaan sebelum terhidu bau busuk.
Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumah kira-kira jam 9.30 malam.
Katanya, mangsa dikatakan tinggal seorang diri selepas dua anak saudaranya tidak pulang ke rumah kerana masing-masing bertugas di luar kawasan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa mempunyai sejarah penyakit paru-paru berair dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Februari lalu.
“Anak saudara mangsa pernah cuba menghubunginya namun tidak berjawab dan kejadian hanya disedari ketika pulang ke rumah Isnin lalu,” katanya dalam laporan Utusan Borneo hari ini .
Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis