BERI PENEMPATAN DAN LATIHAN BANTU BELIA MASUK PASARAN KERJA

KUALA LUMPUR: Memberi penempatan dan latihan (Place and Train) merupakan salah satu cara yang cepat membantu anak muda memasuki semula ke dalam pasaran kerja sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ramai anak muda tidak mahu menjalani kursus yang lama kerana mahu terus mendapatkan pekerjaan.

“Ia bagi membolehkan mereka mendapat gaji ataupun pendapatan yang mendesak. Jadi ini perkara yang kita dapat lihat dalam trend sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang mana Place and Train adalah salah satu cara yang paling cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam soalannya Madius meminta penjelasan bagaimanakah para belia di seluruh negara dikenalpasti dalam menangani kekurangan pekerja.

Wan Ahmad berkata, di peringkat kementeriannya, terdapat banyak sesi libat urus dilakukan bersama dengan belia-belia dan persatuan belia di seluruh negara dalam beberapa sesi seperti Majlis Perundingan Belia secara virtual.

“Kita mendengar sendiri apa yang mereka perlukan, sektor mana yang mereka perlu terlibat dan apa yang Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain dapat lakukan.

“Ini termasuk usaha sama dengan pihak swasta agar lebih banyak peluang Place and Train ataupun Bootcamp dapat kita laksanakan,” katanya. – https://beritasabah.com/