PENAMPANG: Gara-gara cinta online, seorang wanita kerugian RM143,000 selepas ditipu oleh lelaki yang dikenalinya melalui facebook.
Mangsa ‘Love Scam’ berusia 50 tahun itu mengaku berkenalan dengan seorang pemilik akaun ‘Facebook’ yang menggunakan nama ‘Eric Chan’ sejak beberapa bulan.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa membuat lima transaksi kewangan kepada beberapa akaun berbeza sebelum menyedari dirinya tertipu.
Katanya, mangsa diperdaya dengan tipu helah suspek yang menyatakan duit simpanan miliknya bernilai RM16.6 juta dibekukan dan memerlukan bantuan kewangan untuk dipercayai untuk urusan pelepasan.
“Suspek meminta pertolongan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan dan seterusnya berjanji akan memberikan ‘habuan’ kepada mangsa.
“Polis menerima laporan polis daripada mangsa awal pagi, hari ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu Mohd Haris berkata, statistik kes penipuan membabitkan ‘Love Scam’ semakin meningkat di Daerah Penampang sejak kebelakangan ini.
Oleh demikian katanya, masyarakat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.
“Berdasarkan trend jenayah ‘Love Scam’ ini, modus operandi suspek menerusi perkenalan di media sosial dengan menggunakan kata-kata manis bagi mendapat kepercayaan mangsa sebelum meminta sejumlah wang untuk pelbagai alasan,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ