SANDAKAN: Jasa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) membantu menyelamatkan 36 penumpang lain dalam tragedi bot karam di perairan berhampiran jeti Pasar Umum Sandakan wajar diberi penghargaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Toipi Lamat, berkata tindakan Koperal Asman Ongkal, 37, mendapat pujian orang awam kerana masih berupaya menyelamat mangsa yang lain biarpun dalam situasi panik.
Jelasnya lagi, berdasarkan saksi kejadian itu Jumaat lalu, anggota terbabit menyelam dan menarik mangsa yang terperangkap di bawah kanopi untuk dinaikkan ke atas bot awam yang lalu di perairan itu.
“Atas jasa beliau yang cukup membanggakan, rata-rata ‘feedback’ daripada awam memuji tindakan bijak dan matang menyelamat pelajar seramai 27 orang, beliau wajar diberi kemajuan (penghargaan) walaupun sudah tiada dlm perkhidmatan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
“Kami akan berusaha membantu keluarganya mengikut kemudahan dan kelayakan,” katanya.
Terdahulu, jenazah Asman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru, Batu 11, dekat sini, pada jam 3.50 petang hari ini selepas solat jenazah dan penghormatan terakhir di Masjid Datuk Pangiran Galpam.
Toipi turut menzahirkan penghargaan Briged Sabah terhadap semua pihak yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk orang awam.

“Sepanjang perkhidmatan juga, beliau seorang yang amat disenangi kerana ringan tulang dan memberi komitmen yang baik dalam tugas.
“Anggota ini sebenarnya mempunyai fizikal yang kuat dan dia adalah bekas anggota Tiger Platun Batalion 15 dan turut terbabit dalam operasi di Tanduo,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ