KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kerajaan diseru untuk menyalurkan peruntukan RM500 juta kepada Sabah bagi mempercepatkan penyelesaian jalur lebar dan sistem telekomunikasi luar bandar menggunakan teknologi satelit.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata, pendigitalan sepenuhnya tidak mampu dicapai sekiranya pendekatan hanya melalui pembinaan menara telekomunikasi.
“Peruntukan RM4.09 billion yang diumumkan untuk membina 636 menara seluruh negara seharusnya digunakan secara bijaksana bagi memperluaskan jalur lebar negara.
“Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia memerlukan beribu-ribu menara telekomunikasi, bagaimanapun setakat ini hanya mempunyai 400 buah menara. Adakah kerajaan masih meneruskan dengan strategi pembinaan menara sahaja?
“Peruntukan tersebut sebolehnya digantikan kepada pelaksanaan telekomunikasi luar bandar menggunakan teknologi satelit,” tegas Madius.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Perbahasan sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menekankan bahawa masalah ‘internet connectivity’ itu seharusnya diselesaikan secara tuntas dengan kadar segera.
“Sampai bilakah kita menunggu agar pendigitalan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya?
“Apakah kerajaan tidak mahu mengambil sedikit daripada RM4.09 bilion tersebut untuk melaksanakan telekomunikasi luar bandar menggunakan satelit?”
Ujarnya, pihak kerajaan sepatutnya bekerjasama dengan swasta dalam menyelesaikan isu ini.
“Kerajaan sebenarnya boleh bekerjasama dengan pihak swasta seperti MEASAT bagi mempercepatkan dan memperluaskan sebaran jalur lebar seluruh negara,” kata Madius.
More Stories
Tiada faedah alternatif ditawar kepada 165 pesara LPPS yang tuntut hak wang caruman RBS: Kementerian Kewangan
Dua cedera kemalangan dua lori muatan kelapa sawit di Beluran
Lima rumah teres terbakar di Lahad Datu