Beri Sabah, Sarawak lebih banyak autonomi untuk tadbir, pakar beritahu Putrajaya

Pakar menggesa lebih banyak autonomi diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk mentadbir negeri itu sendiri kerana kawalan Putrajaya ke atas kuasa politik menyebabkan pengagihan hasil yang tidak adil.

Panelis itu dalam forum dalam talian mencadangkan kerajaan persekutuan hanya mengawal perkara berkaitan pertahanan dan hal ehwal luar di Sabah serta Sarawak.

Profesor ekonomi, Rajah Rasiah dan penganalisis politik, Bridget Welsh mendapati ketidaksamaan ekonomi dan kemiskinan masih menjadi isu utama yang membelenggu Sabah serta Sarawak, walaupun negeri itu kaya dengan minyak.

Panelis lain, termasuk bekas Adun Pandungan, Dominique Ng dan pengarang Zainnal Ajamain, turut menekankan kemajuan ekonomi yang lemah di dua negeri itu berbanding Semenanjung, walaupun selepas 58 tahun menyertai Malaysia.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), panelis itu berkata, tiada kemas kini daripada kerajaan Perikatan Nasional berhubung pelaksanaan 21 perkara, atau sama ada pengembalian hak Sabah dan Sarawak akan dibentangkan di Parlimen semula.

Mereka berkata, laporan 21 perkara itu yang kini di bawah Akta Rahsia Rasmi, mengecewakan rakyat.

Panelis itu turut menggesa kerajaan persekutuan mengkaji semula ketidakseimbangan kuasa ekonomi dan politik di Sabah serta Sarawak kerana tanpa kedua-dua negeri itu, Malaysia tidak akan wujud.

Forum dalam talian itu dipengerusikan bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Johan Ariffin Samad dan dianjurkan Malaysia First, sebuah kumpulan yang mempromosikan keperluan untuk kuasa ketiga di negara ini.