Tahun Baru Cina: Tempahan kostum tarian singa muram di Sandakan

Tarian singa, tarian naga dan letupan mercun merupakan suatu kemeriahan dan tradisi menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, namun penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan perubahan besar untuk sambutan itu tahun ini.

Bagi seorang pembaik pulih kostum tarian singa, Lu Tshun Yaw, 41, lazimnya sebelum kedatangan sambutan beliau memang cukup sibuk membaiki kostum, yang dihantar oleh persatuan dan orang perseorangan untuk dibaiki atau diwarnakan semula mengikut permintaan.

Mula mempelajari teknik membaiki pulih kostum itu sejak berumur 9 tahun dari bapanya, beliau kebiasaannya membaik pulih sehingga 20 kostum menjelang Tahun Baharu Cina, bagaimanapun tahun ini suasana suram menyelubungi, apabila tarian itu tidak dibenar diadakan ketika PKP.

“Selalunya saya ambil masa seminggu untuk (baik pulih) satu kostum kepala singa, tetapi tahun ini satu kepala singa pun tiada orang hantar (untuk baik pulih).

“Sedih juga lihat tidak dapat lihat tarian singa seperti (sambutan) tahun-tahun sebelum ini, tetapi kita rakyat faham COVID-19 ini amat bahaya dan negara perlu dipulihkan,” katanya kepada Bernama di premis yang diusahakan bapanya sejak 40 tahun lepas di sini.

Pada Khamis lepas (4 Feb) Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pada sambutan Tahun Baharu Cina persembahan dan kebudayaan lazim seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas tidak dibenarkan.

Lu berkata kesan COVID-19 dan PKP amat dirasai pemilik perniagaan sepertinya di sini, kerana ia seakan menutup ruang pendapatan berikutan persatuan dan orang perseorangan tidak menghantar kostum kepala singa untuk dibaiki, malah pengamal tarian itu tidak memperoleh tempahan persembahan.

“Kita cuba cari pendapatan sumber lain seperti sekarang saya buat peralatan keagamaan dan replika upacara kematian, ada juga orang minta baiki gendang cina pun kita buat juga,” katanya yang merupakan generasi ke-4 perniagaan warisan itu.

Beliau berharap penularan COVID-19 dapat dikekang dalam masa terdekat dan memulihkan kembali kehidupan rakyat yang amat terjejas akibat pandemik tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *