Berita palsu, Malaysia Airlines buat laporan polis

Malaysia Airlines hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu atas dakwaan tidak berasas menyebarkan berita palsu di media sosial mereka bahawa terdapat empat pesawat dari India mendarat pada 1 Mei lalu.

Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi mendakwa pesawat tersebut adalah MH191 dari Delhi, MH193 dari Bengaluru, MH195 dari Mumbai dan MH181 dari Chenai.

Manakala, Muhammad Fahmi Abdullah mendakwa beliau diarahkan oleh majikannya untuk mengambil seorang penumpang dari India bernama Ajit Prasad di KLIA awal hari ini untuk dihantar ke pusat kuarantin di sebuah hotel di ibu negara.

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan negara itu berkata semua penerbangan MH yang menjadi tular di media sosial merupakan penerbangan kargo dan tidak membawa penumpang selain kru penerbangan yang berada dalam kapal terbang semasa transit.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat penerbangan juga tidak membenarkan kakitangan penyelenggaraan di India memasuki pesawat.

“Penerbangan MH pada 1 hingga 3 Mei dari India itu juga penuh dengan muatan penumpang-ke-kargo (P2C) termasuk barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik, dan bungkusan kurier,” katanya.

Malaysia Airlines berkata, sejak negara mengenakan larangan masuk sementara kepada warga India ke negara ini pada 28 April, pihaknya membatalkan semua penerbangan penumpang yang dijadualkan ke/dari India bagi mematuhi arahan berkenaan.

“Malaysia Airlines mendapati tuduhan oleh individu tertentu tidak hanya memudaratkan reputasi syarikat tetapi menganggapnya sebagai ancaman terhadap kredibiliti negara dalam membendung penyebaran Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata hasil semakan pihaknya mendapati tuduhan itu tidak tepat malah penerbangan MH191 hanyalah penerbangan kargo.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat meragukan kerana sememangnya tidak ada mana-mana majikan swasta yang boleh mengambil sesiapa sahaja untuk dihantar ke pusat kuarantin, sebaliknya urusan berkenaan di bawah kendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh pemilik akaun Facebook bernama Muhammad Fahmi Abdullah telah menyebabkan keresahan, panik dan kemarahan dikalangan rakyat Malaysia secara umumnya.

“Apa yang jelas, tiada individu bernama Ajit Prasat dalam penerbangan MH191 sebagaimana yang didakwa. Hentikanlah penyebaran khabar angin atau berita palsu sedemikian.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *