[ad_1]
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ujian ke atas sampel air yang diambil dari Loji Air Ganda (LRA) Air Ganda di Gerik menunjukkan paras arsenik kurang daripada 0.01 miligram iaitu rendah daripada piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Ini bermakna, air terawat yang dibekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk di situ adalah selamat untuk digunakan.
“LRA Air Ganda yang terletak di Sungai Perak membekalkan air sebanyak 0.50 juta liter sehari untuk kegunaan seramai 1,000 orang penduduk Kampung Air Ganda, Gerik,” katanya dalam satu sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari mendedahkan pencemaran Sungai Rui berlaku kerana dipercayai mengandungi arsenik.
Beliau berkata pencemaran itu telah dikenal pasti menerusi pemantauan kualiti air oleh Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar di sungai berkenaan, baru-baru ini.
Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata berdasarkan kajian, arsenik secara semula jadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak dan peningkatan bahan kimia itu dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah.
“Terdapat aktiviti 2,000 pendulang berlesen dan aktiviti pendulang haram di Sungai Pahit yang mana tindakan mereka menjalankan aktiviti mencuci bijih timah menggunakan bahan kimia turut menyumbang kepada pencemaran Sungai Hitam yang bersambung dengan Sungai Rui,” katanya.
Selain itu beliau menegaskan kerajaan negeri juga membekuan semua aktiviti pembalakan di Hulu Perak dan sepanjang Sungai Rui sehingga laporan konklusif hasil daripada semua kajian ke atas sungai tersebut diperoleh.
“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui.
“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik dalam kalangan rakyat,” katanya sambil menambah pembekuan aktiviti pembalakkan menyebabkan kerajaan negeri hilang sumber pendapatan kira-kira RM30 juta setahun.
Selain itu, Ahmad Faizal berkata ketika ini kurang daripada 20 orang penduduk Kampung Air Ganda dikesan mempunyai tanda serta gejala penyakit kulit dan semuanya telah diperiksa oleh Jabatan Kesihatan negeri.
Bagaimanapun, katanya jabatan tersebut merumuskan hasil kajian termasuk pemerhatian dan pemeriksaan fizikal ke atas penduduk masih awal dan belum dapat dikaitkan dengan pendedahan terhadap arsenik.
Menteri besar Perak itu berkata sampel rambut daripada 300 penduduk di kampung tersebut juga telah diambil untuk dianalisis oleh Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) bagi mengenal pasti punca penyakit kulit dan keputusannya dijangka diketahui selewatnya pada Jun.
Tambahnya satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan sebagai langkah proaktif kerajaan negeri memelihara kepentingan rakyat walaupun proses mendapatkan pengesahan berhubung sumber pencemaran Sungai Rui masih dijalankan.
Memandangkan pencemaran ini melibatkan risiko keselamatan awam, pihak kerajaan negeri telah bersetuju supaya semua tindakan yang dijalankan oleh jawatankuasa ini diletakkan di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, katanya.
— BERNAMA
[ad_2]
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar