[ad_1]
Peguam Negara Tommy Thomas berkata perkara itu telah mendapat kelulusan Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur hari ini bagi menerima tawaran untuk membeli Equanimity daripada Genting atas terma-terma dan syarat-syarat Syerif.
Menurutnya, harga jualan US$126 juta itu akan dibayar oleh Genting dan akan diterima Mahkamah pada hujung bulan ini.
“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia dalam jangka masa lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan. Jumlah US$126 juta ini ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, semenjak Oktober 2018 apabila Equanimity mula diumumkan untuk jualan.
“Banyak tawaran yang diterima dalam tempoh ini, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang melebihi US$100 juta. Bagaimanapun, Genting telah menawarkan harga tertinggi, yang pada hari ini telah diluluskan oleh Mahkamah untuk diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 19 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.
Kapal mewah itu yang asalnya dimiliki ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low telah disita di Bali Indonesia tahun lalu sebelum kerajaan negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Tommy berkata oleh kerana tawaran daripada Genting telah dirunding secara terus, tiada komisyen ejen yang perlu dibayar sekaligus membawa penjimatan sebanyak US$4.4 juta.
Beliau berkata meskipun nilai harga pasaran kapal itu oleh Winterbotham sebanyak US$130 juta tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada kerajaan Malaysia adalah yang sebaiknya kalaupun tidak lebih baik daripada yang di jangkakan.
“Jualan kehakiman pada nilai US$126 juta adalah bersejarah dari mana-mana segi pun. Jumlah ini merekodkan tanda aras yang tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam memastikan nilai pasaran diperolehi daripada kapal yang dijual melalui proses mahkamah tanpa sebarang diskaun.
“Perkara ini harus dipuji lebih-lebih lagi memandangkan hasil ini dicapai daripada jualan kapal yang mewah dan sofistikated yang kumpulan pembelinya adalah terlalu kecil.
“Harga jualan yang sangat memuaskan ini berjaya dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran dan kemahiran kumpulan perundangan yang mewakili kerajaan dan kepada mereka saya berikan penghormatan,” katanya.
Beliau berkata kumpulan perundangan ini telah bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka, bergerak untuk bertemu dengan pembeli berpotensi di Hong Kong dan London, dan menanggung sendiri kos-kos perjalanan ini bagi memastikan jangkauan seluas mungkin, dan untuk memahami dengan lebih baik keadaan-keadaan jualan tersebut.
“Usaha mereka dilengkapi dengan kerjasama daripada Syerif Mahkamah yang tangkas dan mantap, serta profesionalisme dan kesediaan Hakim Admraliti untuk bertindak dalam keadaan-keadaan yang amat luar biasa,
“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula telah bermurah hati memberikan ruang untuk Equanimity berlabuh selama lima bulan tanpa sebarang caj. Pihak TLDM bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia telah memastikan keselamatan kapal tersebut, malahan telah mengiringi kapal semasa membuat ‘sea trials’ bersama para pembeli berpotensi.
“Kerajaan Malaysia amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia telah banyak membantu dalam hal mengurangkan kos penyelenggaraan Equanimity,” katanya.
Tommy berkata , bagi tujuan ketelusan, satu kenyataan lanjut akan dikeluarkan sebaik sahaja harga jualan diterima, berserta dengan perincian perbelanjaan yang ditanggung, dan jumlah bersih yang akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang baru dibuka.
— BERNAMA
[ad_2]
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar