BERNAMA.com – Malaysia, New Zealand perkukuh hubungan dalam mendepani terrorisme

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Berlatar belakangkan peristiwa serangan maut teroris di Christchurch baru-baru ini, Malaysia dan New Zealand sekata dalam keperluan untuk mengeratkan hubungan demi menentang terrorisme.

Ini adalah hasil rundingan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan rakan sejawatannya Winston Peters di ibu negara hari ini.

“Kami bersetuju memperkukuh hubungan bilateral dalam menentang durjana terrorisme,” kata Dr Wan Azizah kepada media selepas mesyuarat mereka di bangunan Parlimen di sini.

Serangan ke atas dua masjid semasa solat Jumaat pada 15 Mac itu mengorbankan 50 jiwa, termasuk seorang warga Malaysia belasan tahun. Berpuluh yang lain cedera.

Pada mesyuarat itu, Dr Wan Azizah berkata beliau turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya serta semua keluarga mangsa.

“Kerajaan Malaysia bangkit bersama kerajaan New Zealand pada saat-saat sedih ini,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Peters yang juga menteri luar New Zealand.

Dr Wan Azizah berkata beliau melahirkan penghargaan kerajaan kepada kerajaan New Zealand atas segala bantuan yang diberi kepada mangsa rakyat Malaysia dalam serangan itu yang mendapat kutukan meluas daripada masyarakat New Zealand dan dari serata dunia. Tiga rakyat Malaysia adalah antara yang cedera.

Peters, yang berada di sini untuk lawatan kerja dua hari berkata,”Mangsa serangan teroris yang cukup mengejutkan itu termasuk warga Malaysia, dan mereka serta keluarga dan masyarakat sentiasa dalam ingatan kami.”

Katanya, kerajaan New Zealand menghulurkan segala bantuan kepada mereka yang terjejas akibat kejadian itu.

“Kita adalah negara yang mengamalkan toleransi agama. Serangan ke atas seorang daripada kita dalam mengamalkan kepercayaan kita, merupakan serangan ke atas kita semua,” kata beliau.

Beliau berkata New Zealand amat berterima kasih atas pernyataan simpati dan sokongan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin-pemimpin Malaysia lain, organisasi masyarakat sivil dan masyarakat Islam di sini secara umumnya.

“Perkara paling penting yang kami sedari dan lihat tidak sahaja dari negara-negara seantero dunia tetapi khususnya dari 57 negara Islam, ialah tahap persefahaman dan sokongan mereka.

“Kami amat tersentuh bila Malaysia bangkit bersama kami pada saat-saat sedih ini,” kata beliau.

Beliau berkata negaranya juga terharu dengan kunjungan oleh 50 pertubuhan Islam dan sivil ke Suruhanjaya Tinggi New Zealand di sini menyampaikan mesej perpaduan sejak serangan itu berlaku.

Peters, pemimpin pertama New Zealand yang melawat Malaysia selepas serangan kejam itu turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati semua rakyat New Zealand kepada mereka yang terjejas.

“Mesej kami kepada rakyat Malaysia dan di serata dunia ialah … mari kita berusaha dengan lebih gigih bagi menyebarkan toleransi, ihsan dan persefahaman,” kata beliau.

Peters turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peters dijadual berlepas dari Malaysia petang ini.

— BERNAMA

[ad_2]