BERNAMA.com – Portal VEP kini boleh diakses semula

[ad_1]

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) — Portal Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) kini boleh diakses semula selepas siasatan menyeluruh, menurut Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan portal VEP menggunakan ‘dasar asal yang sama’ di mana ia hanya membenarkan skrip pada laman web pertama untuk mengakses data pada laman web kedua dan hanya jika kedua-duanya dari asalan yang sama.

“Dasar ini menghalang sebarang percubaan berniat jahat untuk mendapatkan akses kepada data sensitif,” menurut kenyataan itu dan menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan menangani keselamatan data dengan segera kerana ia menjadi keutamaannya.

Penguatkuasaan VEP akan dimulakan pada 1 Okt 2019 dan kementerian mengingatkan pemilik kenderaan berdaftar asing supaya mendaftar dan membuat temu janji untuk memasang tag VEP Radio Frequency Identification (RFID) serta-merta.

Akhbar The Straits Times Singapura pada Jumaat melaporkan identiti ribuan pemandu asing termasuk rakyat negara itu berdepan risiko maklumat peribadi mereka terdedah selepas penemuan kelemahan di laman web VEP Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

Berita itu juga memaparkan skrin yang menunjukkan maklumat seperti alamat pemandu, nombor telefon dan butiran pasport boleh dilihat di laman web JPJ dengan hanya membuat perubahan pada URL laman web itu.

— BERNAMA

[ad_2]