BERNAMA.com – Usaha tingkat pendidikan Orang Asli agenda utama kerajaan

[ad_1]

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) — Usaha meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli masih menjadi agenda utama kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata usaha itu perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.

“Kesedaran dan perubahan ini perlu bermula di peringkat rumah lagi, iaitu dalam kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai jurusan, selain yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti luar negara pada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Jumlah ini memberi isyarat kepada kerajaan bahawa masyarakat Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan,” katanya.

Dr Mahathir berkata pencapaian tinggi pelajar Orang Asli, turut menghantar isyarat bahawa masyarakat itu sudah bersedia dan mempunyai pemimpin dan cerdik pandai untuk tampil ke hadapan, bagi memainkan peranan yang lebih besar dan utama di dalam merangka hala tuju masyarakat itu dan negara.

“Pencapaian mereka yang amat menggalakkan pasti terhasil dari kegigihan dan kerja kuat mereka sendiri. Tetapi ia juga memberi galakan kepada kerajaan bahawa dasar-dasar yang diperkenal telah juga berjaya membantu menghasil pelajar cemerlang tersebut,” katanya.

Bagi memastikan sasaran setiap Orang Asli menerima pendidikan secara formal dicapai, beliau berkata kerajaan akan terus membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam aspek pembangunan insfrastruktur perkampungan Orang Asli, Dr Mahathir berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap projek-projek melibatkan bekalan elektrik dan air terawat, pembinaan jalan serta pembangunan perumahan.

Mengikut statistik terkini, katanya kerajaan telah menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 buah perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

[ad_2]