Bertaubat jadi bapa prejudis, wakil PKR desak Dr M mohon maaf

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat PKR mendesak Dr Mahathir Mohamad memohon maaf segera kepada masyarakat India dan Cina, susulan dakwaannya kaum itu tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata kenyataan bekas perdana menteri itu dalam satu temu bual terbitan ‘Tanthi TV’ baru-baru ini merupakan satu penghinaan terhadap perpaduan pelbagai kaum yang dibina dengan nilai kesetiaan tanpa berbelah bagi.

“Saya terkilan, sedih dan marah terhadap setiap kenyataan yang keluar dari mulut seorang negarawan yang sepatutnya menjadi figura waras dalam berbicara soal perpaduan, lebih-lebih lagi ia melibatkan sensitiviti masyarakat India dan Cina yang beliau dengan jelas menyebut, ‘They were immigrants from other countries.’ (mereka adalah pendatang dari negara lain).

“Mewakili masyarakat India pelbagai segmen di negara ini, saya menuntut agar Mahathir memohon maaf secara terbuka dengan kadar segera kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat India dan Cina yang amat terkesan dengan perspektif dan persepsi tidak waras beliau,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita tersebut, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

Yuneswaran menambah ungkapan berunsur diskriminasi itu boleh merencatkan keutuhan perpaduan, yang merupakan teras penting dalam memperkukuh ketamadunan.

“Watak-watak politik perlu berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berunsur diskriminasi perkauman dan bertindak sebagai ejen pendamai untuk mengukuhkan perpaduan antara bangsa, agama dan etnik.”