Tolak elemen negatif bagi jamin kesejahteraan rakyat, titah Tuanku Muhriz

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah supaya masyarakat menolak elemen negatif yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian bagi memastikan kestabilan moral serta sosial mengikut nilai agama dapat terus diperkuatkan.

Baginda bertitah rakyat perlu berusaha mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan, khususnya di Negeri Sembilan.

“Oleh itu, beta menyeru semua rakyat mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.

“Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” titah Baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Baginda bertitah kesejahteraan rakyat juga ditentukan pencapaian ekonomi negeri dan pada masa ini, kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta jumlah kutipan hasil negeri amat membanggakan.

Bagi mengekalkan prestasi itu, Tuanku Muhriz berharap kerajaan negeri meneruskan perancangan Pelan Tindakan Khusus Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 dalam menangani isu ekonomi semasa.

Baginda juga mahu rakyat bersedia menghadapi sebarang perubahan, sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia dan yakin penduduk di negeri ini cekal serta bersemangat mendepani cabaran mendatang.

“Beta disembah maklum kerajaan beta telah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan kerajaan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaharu, selain merencana program tertentu bertujuan membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini.”

Tuanku Muhriz turut mengingatkan institusi awam untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian dan pengurusan kerajaan dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Dalam titah itu juga, baginda turut menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia oleh Israel terhadap rakyat Palestin serta menyeru rakyat bersama memberi sokongan, termasuk menyumbang kepada Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima pingat dan bintang kebesaran dan mengingatkan mereka memelihara kurniaan itu yang mencerminkan martabat serta kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.

“Kurniaan ini sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti kepada beta, kerajaan beta dan Negeri Sembilan. Justeru, para penerima mempunyai amanah dalam menjaga kemuliaan dan pengiktirafan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara.”

Seramai 473 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda dalam tiga sesi bermula hari ini dengan Menteri Besar, Aminuddin Harun mendahului senarai penerima.