BILANGAN CERAI MENINGKAT, BILANGAN KAHWIN MENURUN

PUTRAJAYA: Bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lepas menurun sebanyak 1.2 peratus kepada 203,821 orang, berbanding 206,352 orang pada tahun sebelumnya, menurut laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan juga menunjukkan jumlah perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat 12 peratus kepada 56,975 pada 2019, berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata seiring dengan penurunan jumlah perkahwinan, kadar perkahwinan umum bagi pengantin lelaki mencatatkan penurunan dari 50.7 kepada 50.1 per seribu populasi lelaki belum berkahwin dan berusia 18 tahun ke atas.

“Trend serupa juga direkodkan untuk pengantin wanita yang mencatatkan penurunan dari 47.0 kepada 46.2 per seribu populasi wanita belum berkahwin berusia 16 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata kadar perceraian umum bagi lelaki meningkat dari 6.5 kepada 7.2 per seribu populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan keatas, dengan kecenderungan serupa juga dilaporkan untuk wanita yang mencatatkan peningkatan dari 7.0 kepada 7.7 per seribu populasi wanita berkahwin.

“Purata umur pengantin lelaki kekal pada 28 tahun, manakala purata umur pengantin wanita meningkat dari 26 tahun (2018) kepada 27 tahun (2019),” katanya.

Mohd Uzir berkata peningkatan purata usia pengantin juga disebabkan oleh peningkatan purata usia ibu semasa kelahiran pertama yang meningkat 0.1 tahun dari 27.8  pada 2018 kepada 27.9 tahun lepas.

“Senario semasa menunjukkan kecenderungan perkahwinan lewat berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berusaha untuk memperkukuhkan kestabilan ekonomi masing-masing, terutama yang tinggal di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu sejajar dengan peningkatan kadar urbanisasi di Malaysia dari 70.9 peratus pada tahun 2010 kepada 76.2 peratus pada tahun 2019.

Mohd Uzir berkata statistik juga menunjukkan pengantin lelaki dan wanita yang paling tua direkodkan oleh jabatan itu tahun lepas adalah berusia 93 dan 86 tahun.

“Sebanyak 0.3 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun ke atas telah berkahwin dengan pengantin wanita yang lebih muda iaitu berusia sekitar umur 24 tahun dan ke bawah.Paragraph

“Manakala 0.2 peratus pengantin wanita berusia 65 tahun ke atas telah berkahwin dengan pengantin lelaki lebih muda yang berumur 24 tahun ke bawah,” katanya. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *