COVID-19: KES PULIH LEBIH TINGGI BERBANDING KES POSITIF HARI INI

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Kes pulih COVID-19 hari ini mengatasi angka kes positif dengan 2,112 kes sembuh dilaporkan, manakala kes baharu berjumlah 1,212 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 54,759 kes, iaitu 83.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Daripada jumlah kes baharu pula, 1,203 kes adalah penularan dalam negara dengan sembilan lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 402 kes (33.2 peratus), dengan 308 kes (76.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan. 

“Ia diikuti dengan Sabah sebanyak 326 kes (26.9 peratus) dan Negeri Sembilan 141 kes (11.6 peratus),” katanya ketika sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata 101 kes (8.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (65 kes), Kluster Tembok (23 kes), Kluster PTS Tawau (lapan kes), Kluster Matambai (tiga kes), dan satu kes masing-masing bagi Kluster Penjara Seberang Perai serta Kluster Penjara Sandakan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 65,697 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,578 kes,” katanya.

Hari ini juga mencatat pertambahan tiga kes kematian akibat COVID-19, kesemuanya lelaki, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 360 kes (0.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Lelaki pertama dari Kedah berusia 66 tahun dan mempunyai penyakit bawaan darah dan rendah imuniti, menakala lelaki kedua di Labuan berusia 58 tahun, mempunyai penyakit darah tinggi serta gout, dan lelaki ketiga berusia 22 tahun di Sabah yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi serta buah pinggang kronik,” katanya.

Sehingga kini terdapat 113 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *