BINA KEKUATAN PSIKOLOGI TANGANI PKP DI RUMAH

Fenomena yang berlaku di seluruh dunia ketika ini akibat pandemik Covid-19, menuntut semua orang keluar daripada rutin harian ataupun cara hidup kebiasaan masing-masing.

Sudah pasti, menukar rutin kebiasaan bagi seseorang individu itu adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan.

Rutin biasa, di mana semua orang akan keluar rumah sama ada bekerja, belajar dan bersosial terpaksa diubah secara ‘total’.

Malah, kita juga terpaksa mencari alternatif lain dengan melakukan kerja-kerja dari rumah, bersosial atau membeli barang-barang keperluan harian.

Ada segelintir yang terpaksa berkerja secara dalam talian, membeli barangan keperluan secara ‘on-line’ dan sebagainya yang ketika ini dilihat sebagai jalan penyelesaian.

Kini hampir keseluruhan daripada semua orang terpaksa duduk di rumah bagi tujuan memutuskan rangkaian pandemik Covid-19 supaya tidak semakin tersebar atau bertambah merumitkan.

Perubahan situasi ini, bukan saja menuntut kepada kekuatan fizikal seseorang bahkan juga kepada psikologi mereka.

Duduk di rumah selama beberapa minggu bahkan juga mungkin berbulan-bulan lamanya bakal mengundang keresahan dan tekanan kepada seseorang.

Apatah lagi jika seseorang tidak melakukan sebarang aktiviti di rumah, maka tekanan psikologi yang tidak dapat ditangani dengan baik bakal mengundang kepada masalah-masalah yang lain.

Oleh itu, bagi mengelakkan timbul masalah yang lain, seseorang harus membina kekuatan psikologinya dengan menghindarkan daripada berfikiran negatif dan seharusnya mengarahkan fikiran ke arah yang lebih positif.

Ketika ini, seseorang harus berfikir bahawa duduk di rumah sebenarnya memberi ruang yang cukup besar untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh kerana kesibukan dengan bekerja.

Ini bukan sesuatu yang membosankan kerana secara langsung membolehkan kita mengarahkan fikiran daripada fikiran irrasional kepada rasional.

Mereka yang sering berfikir secara rasional adalah mereka yang tergolong dalam golongan mereka yang berfikiran positif.

Fikiran yang positif perlu disusuli dengan tindakan melakukan aktiviti-aktiviti yang menimbulkan emosi yang positif dan stabil.

Ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi fikiran positif di mana seseorang itu harus berfikir bahawa inilah masa yang terbaik untuk bersama dengan keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti secara bersama.

Sebagai contoh, seseorang boleh membantu membersih dan mengemaskan rumah serta persekitaran, memperbaiki peralatan yang rosak yang mampu dilakukan, menanam bunga dan sayur-sayuran.

Mereka juga berpeluang bersama-sama keluarga melakukan ibadah seperti solat berjemaah, menyediakan makanan serta kuih-muih, menonton televisyen dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

Selain dari itu, seseorang harus berfikir bahawa bukan hanya dirinya seorang yang terpaksa menjalani rutin kehidupan di luar dari kebiasaan, malah semua orang pun turut sama.

Sekiranya orang lain dapat menukar rutin kebiasaan mereka, maka seseorang itu juga harus mencabar dirinya sendiri mengapa pula dia tidak mampu melakukan perkara yang sama.

Malah orang lain mungkin menghadapi suasana yang lebih teruk dibanding dengan dirinya masih dapat duduk di rumah bersama keluarga.

Mereka memperolehi peluang untuk melakukan aktiviti bersama-sama dalam keadaan yang lebih selamat.

Mereka juga perlu membuat perbandingan dengan orang gelandangan yang tidak mempunyai rumah, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup yang tidak menentu.

Harus diakui, mereka jauh lebih baik dan beruntung dibandingkan dengan orang lain yang ‘merana’ di luar sana.

Sepanjang tempoh ini juga, ia dapat memberi mereka peluang untuk mendidik hati dengan menjadi seorang yang lebih pemurah dan ringan tangan untuk menolong golongan yang lebih tidak bernasib baik.

Semua orang perlu menguatkan psikologi dalam diri mereka kerana sistem di dalam badan seseorang akan berinteraksi secara langsung dengan psikologi mereka.

Psikologi seseorang yang tidak kuat dan kukuh akan menyebabkan tekanan atau stress dan sistem badan juga akan memberi respons secara langsung.

Harus diingat, stress yang keterlaluan akan menyebabkan seseorang itu merasa seperti demam dan pening kepala.

Malah, amatlah malang bagi mereka yang sememangnya mengidap penyakit kerana stress ini hanya akan menambah keseriusan penyakit yang sedang dialami./BERITA SABAH

Penulis ialah Dr Mohd Haniff Hassan.
Pensyarah Kanan Psikologi dan Kaunseling, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *