BINGKASAN: JEFFREY CAKAP TAK SERUPA BIKIN

INANAM: Sandiwara politik yang terhangat dipasaran kini, terutama oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan, harus dibelakangkan supaya usaha memulih baik ekonomi dapat diberikan keutamaan.

“Sejujurnya saya sangat sedih kerana ramai yang terjebak menghabiskan begitu banyak masa bersilat kung fu mengenai politik… langkah kuda-kuda sangat menarik. Segala andaian, pelbagai teori, kononnya sumber sah dari si polan entah siapa.

“Ada pula yang bercakap, seperti lazimnya yang dia maha tahu dan sangat tinggi darjat. Cukup-cukuplah kita mengeruhkan suasana, omong-omong kosong dan jadi tin kosong kerana yang jauh lebih genting kini ialah untuk memastikan meja makan kita tidak kosong, sebab sumber pendapatan kita semakin terhakis malah ada yang hilang. Mari usaha untuk baik pulih ekonomi setiap warga Malaysia di Sabah,” kata Albert Bingkasan.

Ketua Penerangan UPKO berkata masyarakat patut memberikan fokus kepada perkara yang lebih penting kerana pandemik oleh virus corona atau COVID-19 telah menjejaskan ekonomi dan hampir semua sektor kehidupan manusia sejagat termasuk Sabah.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia.

Jeffrey dikatakan memperlekehkan tindakan para pemimpin Kerajaan Sabah terutama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Shafie Apdal yang kononnya tidak sesuai apabila memberikan amaran kepada pembangkang dalam hal jual beli Wakil Rakyat.

Bingkasan, yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata sememangnya sudah menjadi kebiasaan bagi Jeffrey untuk bersuara seolah-olah hanya dia yang paling tahu dan paling betul walaupun “sebenarnya, dia hanyalah seorang penonton ditepi stadium yang suka sangat berteriak dan mengajar serta mengherdik para pemain dipadang bola sepak.”

“Saya kasih satu contohlah. Bukankah Jeffrey berada disatu tempat pada malam 9 Mei 2018 bersama seorang pemimpin pembangkang yang kalah dalam pilihan raya umum ke-14 itu? Apakah yang beliau buat? Mungkin mereka saja-saja makan pisang goreng sambil minum kopi, atau Jeffrey menunggu laporan daripada orang-orang kanannya yang sedang tawar menawar di pasar politik? Jeffrey, jangan bah menepuk air didulang.

“Baiklah, satu lagi contohlah. Selama ini Jeffrey seolah diagung-agungkan oleh para pengikut yang terpesong oleh dia bahawa hanya dialah yang paling konsisten bersuara supaya isu pendatang asing tanpa izin diselesaikan. Tapi, baru-baru ini, tiba-tiba beliau mengumumkan mahu mengadakan forum untuk mencari penyelesaian isu PTI. Apa itu? Ini kes terhantuk baru terngadah; duduk di Putrajaya baru sedar diri bahawa selama ini dia sendiri sebenarnya hanya tin kosong, bahawa dia tidak tahu cara menyelesaikan isu itu. Cukuplah itu,” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Bingkasan juga menempelak usaha beberapa pihak yang cuba memperlaga-lagakan kepimpinan tertinggi UPKO terutama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu yang kini disandang oleh naib presiden parti, Datuk Limus Jury.

“Kami dalam UPKO bersyukur kerana kami ada begitu ramai individu yang menyerlah sebagai pemimpin. Di Kuala Penyu, dibawah kepimpinan YB Datuk Limus, UPKO mempunyai ramai pemimpin-pemimpin akar umbi yang sentiasa menyumbang bakti kepada perjuangan UPKO sebagai salah sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.

“Siapa yang bertanding di kerusi itu kelak? Apa bah susah-susah pasal ini? Secara logik sahajapun, pastinya kawan baik saya Datuk Limus sudah jauh kehadapan sebagai pemimpin kerana dia sudah masuk dua penggal sebagai Wakil Rakyat di sana. Datuk Limus akan mempertahankan kerusi beliau sebagai pemimpin UPKO dan saya pasti beliau akan menang besar. Datuk Limus sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau setia bersama-sama dalam kerajaan negeri Sabah dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Shafie Apdal. Keihklasan perjuangan sebagai salah seorang pemimpin negeri sudah terjawab sendiri dan tidak perlu lagi dipertikaikan oleh sesiapa pun.

“Upko mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan. Percayalah, UPKO sentiasa mempunyai perancangan dan setiap pemimpin UPKO mempunyai ruang dan cara tersendiri untuk berbakti kepada rakyat dan negara. Sebagai pemimpin tidak kira apa kapasiti mereka samada sebagai wakil rakyat, ahli parlimen atau sebaliknya, dengan keihlasan dan kebolehan yang ada sudah semestinya boleh menyumbangkan tenaga dan idea dalam memainkan peranan mereka secara kolektif dan efektif. Inilah perjuangan UPKO, ini doa UPKO,” kata Bingkasan.

Beliau juga setuju dengan pendapat ramai bahawa UPKO yang dijenamakan semula menjadi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (United Progressive Kinabalu Organisation) kini semakin mantap dan mendapat sambutan sangat baik daripada semua lapisan masyarakat.

“UPKO untuk semua. Semua untuk UPKO. Perjuangan inklusif berlandaskan kekuatan UPKO yang dahulu mampu membantu Sabah untuk mencapai status kegemilangan yang lebih terbilang. Saya mengalu-alukan semua untuk menyertai UPKO dalam perjuangan ini,” ujar Bingkasan.-http://beritasabah.com