JAMES, LIMUS JADI ADUN BEBAS SOKONG PN

PENAMPANG: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk James Ratib dan Datuk Limus Juri, hari ini, keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

James yang juga ADUN Sugut dan Limus yang merupakan ADUN Kuala Penyu mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media khas di kediaman Limus, di sini, hari ini.

Khabar angin mengenai perkara itu mulai bertiup kencang selepas gambar James bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tular di media sosial, baru-baru ini.

Tindakan James dan Limus itu juga seakan-akan menggambarkan kemungkinan wujudnya pembelian ADUN oleh PN seperti yang didakwa beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bagaimanapun, James berkata tindakan yang dilakukan mereka adalah kerana tidak bersetuju dengan kerajaan negeri yang enggan memberi sokongan kepada kerajaan PN di peringkat persekutuan.

“Saya juga yakin dan pasti lebih ramai lagi ADUN akan mengikut jejak kami dalam masa dua tiga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Limus berkata beberapa pemimpin UPKO di Beaufort juga mengikut jejak beliau namun kurang pasti berapa ramai yang berbuat demikian.

“Terpulang kepada mereka sama ada mahu mengikut jejak saya atau tidak,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu tadi ialah beberapa pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Johnny Mositun.

Bagaimanapun ketika ditanya kehadiran mereka di sidang media berkenaan, Limus menegaskan mereka hanya hadir sebagai kawan.-http://beritasabah.com