PASUKAN HEBAT… Bingkasan (tengah) bersama para guru dan pelajar SMK Tansau.
PENAMPANG: Setiap warga Malaysia di Sabah wajib memulihara kedamaian serta keharmonian yang sudah sekian lama wujud di Negeri di Bawah Bayu.
Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan berkata, keharmonian, keamanan dan kemakmuran yang ada sekarang ini tidak datang bergolek.
“Justeru, setiap kita harus membahu tanggungjawab untuk memastikan Sabah Tanah Air kita ini kekal indah dan makmur,” katanya.
“Kita mesti memulihara suasana ini, dan memastikan kita lebih progresif, berdaya saing serta semakin terbilang.
Ini wajar menjadi perjuangan setiap kita, ini wajar menjadi sebahagian doa harian kita. Kebetulan kita dalam suasana Hari Kebangsaan, mari hayati dan hidupi anugerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan yang meminta beliau mengulas ucapan semasa merasmikan penutupan Hari Koperasi Sekolah kali ke-5 dan Ekspo Pendidikan 2019 SMK Tansau, Penampang pada Jumaat.
Bingkasan, yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred
Madius Tangau berkata, perasaan selamat dan tidak terancam daripada hal-hal yang tidak diingini “adalah hasil perjuangan dan anugerah” yang tidak dapat dinikmati oleh negara-negara lain seperti di Timur Tengah.
“Kita harus senantiasa ingatkan diri sendiri untuk menghargai keadaan yang cukup menyenangkan kini; janganlah kita sudah terhantuk baru tengadah; janganlah kedamaian sudah hilang baru kita menyesal, menyedari kekhilafan kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata, zaman persekolahan adalah antara wadah terpenting bagi pembangunan insan agar bertumbuh menjadi warganegara yang patriotik serta senantiasa mensyukuri kedamaian.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada para guru dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)yang telah memainkan peranan penting dalam hal ini.

“Terima kasih juga kepada semua pelajar yang rela dibentuk menjadi insan yang mengenang budi dan berwawasan. Mari terus progresif, bermula dengan diri kita sendiri.
Pengalaman mereka aktif dalam koperasi serta komitmen para guru dalam ko-kurikulum ini pasti menjadi pemangkin kepada pengwujudan insan yang terbaik,” katanya..
Pengetua Cemerlang, Puan Haja Siti Salmiah Haji Samaie dalam ucapannya berkata Koperasi SMK Tansau cukup cemerlang sehingga sudah sebaris dengan koperasi di Semenanjung Malaysia.
Pada masa yang sama, sekolah itu turut cemerlang dalam pendidikan apabila muncul sebagai sekolah ke-dua terbaik selepas SM St Michael, Penampang dibawah naungan Pejabat Pendidikan Daerah Penampang.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara