BNC, APS akan hasilkan program Bernama Property Hot Seat

[ad_1]


Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), melalui Bernama News Channel (BNC), menandatangani perjanjian penghasilan program dengan APS Management Services Sdn Bhd bagi menerbitkan Bernama Property Hot Seat, program bual bicara hartanah.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, berkata program televisyen dalam Bahasa Inggeris itu memberi fokus kepada dasar-dasar penting, isu, aliran semasa dan kesannya kepada industri hartanah.

“Kami akan menjemput tetamu dalam kalangan pembuat dasar, pemain industri serta pihak berkepentingan hartanah, yang akan ditemubual berhubung isu penting dan soalan yang biasanya tidak dilaporkan oleh media.

“Ia adalah program secara langsung dan interaktif yang akan turut menerima panggilan daripada penonton,” katanya di sini, selepas menandatangani perjanjian itu, hari ini.

Episod pertama program 13 episod selama 30 minit itu akan disiarkan pada 21 Feb 2019 pada jam 8.30 malam dengan siaran ulangan pada hari Sabtu jam 2.30 petang.

Program itu akan diterbitkan oleh APS Management Services dan dihoskan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Seri Dr Vincent Tiew Soon Thung, usahawan hartanah, bersama peguam hartanah, Chris Tan Chur Pim, yang juga rakan sekutu di Chur Associates.

Zakaria berharap, program berkenaan akan menjadi program utama untuk BNC English dan merangsang tontonan di saluran berkenaan.

Sementara itu, Tiew berkata, rancangan itu menyasarkan untuk mendedahkan isu sebenar serta semasa dunia hartanah dan menambah bahawa, penonton boleh menghantar soalan melalui e-mel atau menyatakan sebarang masalah kepada bernamaproperty@gmail.com.

“Rancangan ini berbeza kerana ia bukan sahaja memberi fokus kepada pengguna tetapi juga pihak berkepentingan, pemilik tanah, pelabur dan pemaju hartanah.

“Jika penonton menghantar soalan, kami akan melihatnya dan bersedia untuk mengupasnya dengan mereka yang utama dalam industri,” tambah Tiew.

— BERNAMA

 

[ad_2]