PENAMPANG: Lapan anggota bomba terpaksa meredah hutan dan sungai sejauh lebih lima kilometer untuk menyelamatkan seorang lelaki yang cedera selepas dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Togudon, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 46 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan akibat dihempap pokok ketika menjalankan aktiviti memotong pokok di kebunnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.08 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Benny Lim bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari balai bomba.
“Jarak ke lokasi mangsa dihempap pokok dari jalan raya sejauh lebih lima kilometer dan pasukan bomba terpaksa meredah bukit dan sungai.
“Setiba di lokasi didapati mangsa stabil namun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tindakan pasukan bomba memberi rawatan awal seterusnya membawa mangsa ke Kampung Togudon menggunakan junkin stretcher.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada ambulans KKM dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.16 petang selepas pasukan bomba memastian tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ