KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan 33 panggilan kecemasan membabitkan kes pokok tumbang, sejak lima hari lalu.
Pemangku Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, semua panggilan kecemasan berkenaan diterima seawal jam 7 pagi 18 Oktober sehingga 7 pagi semalam.
“Panggilan paling tinggi diterima adalah daripada Kota Belud sebanyak tujuh kes diikuti lima kes di Tuaran, empat kes di Putatan dan masing-masing tiga kes di Kunak dan Penampang.
“Dua kes di setiap daerah di Keningau dan Papar manakala hanya satu kes di setiap daerah di Tambunan, Sandakan, Beluran, Tawau, Kota Kinabalu, Kudat dan Kuala Penyu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini.
Beliau turut menasihatkan semua lapisan masyarakat untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu yang boleh mengakibatkan bencana banjir atau pokok tumbang akibat hujan lebat serta ribut petir.
Sebelum ini, Jabatan Meteoroloji Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah termasuklah kawasan pedalaman membabitkan Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Amaran sama juga dikeluarkan di kawasan Pantai Barat, Sandakan, Beluran dan Kudat selain Labuan sehingga Jumaat ini. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad