Tiket penerbangan RM1,700 sehala minggu ini

KOTA KINABALU: Isu tiket penerbangan yang terlalu tinggi terpaksa ditanggung penumpang dari Sabah masih lagi berlarutan dan menjadi antara perkara yang berulang kali disuarakan di Parlimen.

Hari ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi membangkitkan perkara itu dengan mendakwa tambang kelas ekonomi untuk penerbangan sehala dari Sabah ke Kuala Lumpur mencecah hingga RM1,700 pada minggu ini.

Katanya, kadar itu terlalu tinggi dan tidak berpatutan, malah lebih mahal berbanding tambang ke destinasi luar negara.

“Satu lagi masalah yang dihadapi rakyat Sabah ialah peningkatan tiket kapal terbang yang begitu ketara meningkat sehingga tambang kelas ekonomi bagi laluan sehala minggu ini saja mencecah RM1,700 satu perjalanan.

“Perjalanan ke luar negara, ke Singapura, ke Filipina baru RM700, ke Indonesia RM600, tapi ke Sabah RM1,700..teruk betul.

“Sarawak saya tidak mahu cakap sebab saya nanti kena marah..tapi, saya cakap pasal Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pengangkutan supaya melihat perkara itu kerana membebankan rakyat Sabah terutama mereka yang sering berulang alik untuk urusan perniagaan dan lain-lain urusan.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut menyuarakan ketiadaan peruntukan untuk tebatan banjir di Sabah dalam Belanjawan 2025 sedangkan Sabah juga berdepan dengan musim tengkujuh.

“Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk membincang bersama bagi mengatasi masalah banjir yang begitu berat sekali dihadapi oleh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam perbahasannya, Bung Moktar juga menyebut mengenai masalah air tidak berhasil (NRW) yang sangat tinggi di Sabah, iaitu mencecah 60 peratus.

Beliau berkata, kebiasaannya kerajaan persekutuan memberikan ‘soft loan’ kepada kerajaan negeri untuk menangani masalah itu.

“Sabah ini terkenal dengan NRW, air tanpa hasil, lebih kurang 60 peratus NRW di Sabah. Sebab itu Sabah antara negeri terbesar menyumbang NRW hingga menyebabkan air tidak dapat dibekalkan secukupnya kepada rakyat Sabah.

“Jadi kita minta kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengatasi masalah yang rakyat hadapi ini,” katanya.

Dalam satu lagi perkara, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah bertanya mengenai bila kerajaan melantik penaksir bebas untuk menentukan jumlah pemberian khas kepada Sabah.

Beliau berkata, rakyat juga mahu tahu sejauh mana manfaat yang diperolehi Sabah menerusi bayaran interim diterima kerajaan negeri ketika ini yang diumum meningkat kepada RM600 juta pada tahun depan.

“Terima kasih atas pembayaran interim RM600 juta kepada Sabah, tapi dalam masa yang sama ramai rakyat Sabah meminta saya untuk bertanya kepada kerajaan sejauh mana interim ini boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak berkepentingan, antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Selama ini kita menggunakan interim tetapi bilakah agak-agaknya kerajaan persekutuan dan negeri melantik penaksir bebas untuk memutuskan berapa sebenarnya yang diterima oleh rakyat Sabah melalui perjanjian-perjanjian terdahulu,” katanya. – Info X