Bomba selamat tiga individu terperangkap dalam kebakaran di Inanam

KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa tiga mangsa yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Bantayan, Inanam, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.53 pagi.

Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal di bahagian tangga yang sedang terbakar.

“Ketika kejadian, terdapat tiga mangsa terperangkap di tingkat satu berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba menggunakan tangga melalui tingkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan 3.42 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X