KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud mengarahkan pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Sabah untuk mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di kampus masing-masing.
Arahan itu sebagai tindakan susulan berikutan kes pelajar menggunakan guni plastik sebagai bagasi untuk membawa barangan keperluan diri ketika mendaftar masuk di UMS, kelmarin.
Beliau berkata, pihak pengurusan kedua-dua universiti itu perlu memastikan bantuan yang sewajarnya disalurkan kepada mana-mana pelajar kurang berkemampuan di kampus masing-masing.
“Saya menerima banyak mesej mengenai cabaran yang dihadapi sebahagian anak-anak siswa yang baharu atau sedang berdaftar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dan saya mengambil maklum perkara ini.
“Salah satu kes yang benar-benar menyentuh hati saya ialah kisah adik Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di UMS, membawa karung guni sebagai bagasi. Ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan pihak pengurusan UMS dan UiTM Sabah untuk segera mengenal pasti pelajar kurang mampu bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan. ‘No student should be left behind’, KPT komited memastikan kebajikan pelajar terjaga sepanjang pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam tular gambar bagasi seorang pelajar baharu UMS yang menggunakan guni plastik ketika dikumpulkan di tempat pengumpulan bagasi untuk dihantar ke kolej kediaman.
Gambar itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berkongsi perasaan simpati terhadap pelajar terbabit di laman Facebooknya dan turut membantu menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan yang Rafida meneruskan pengajian.
Sementara itu, Mustapha meminta pelajar yang baru mendaftar di IPTA dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya menghubungi bahagian Hal-Ehwal Pelajar universiti masing-masing jika memerlukan bantuan.
“Bagi anak-anak siswa yang bakal mendaftar di IPTA dan IPTS seluruh negara, saya ingin mengingatkan supaya jangan ragu dan segan untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
“Pelbagai bantuan kementerian sediakan mengikut keperluan anak-anak semua. Tinggal kenal pasti dan mohon, insyaAllah ada penyelesaiannya.
“Teruskan semangat menuntut ilmu, percayalah usaha dan pengorbanan ini akan membuahkan hasil. Selamat maju jaya dalam pengajian. Kami di KPT sedia membantu,” katanya. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis