Brahma Kumaris Sabah lancar projek ‘Pause for Peace’

KOTA KINABALU, 23 Ogos — Organisasi Brahma Kumaris (BK) cawangan Sabah semalam melancarkan projek ‘Pause for Peace’ sebagai platform membantu generasi muda di daerah ini menguruskan kesihatan mental melalui latihan meditasi dan aktiviti spiritual.

Presiden BK Malaysia, Datuk Letchumanan Ramatha berkata, generasi muda tanpa mengira latar belakang agama dan kaum di negeri ini digalakkan menyertai projek berkenaan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan kesihatan mental.

“Generasi muda memang mudah terdedah masalah mental, bahkan ketika seawal usia di bangku sekolah tadika mereka mungkin mula merasai stres. Jika tidak dibimbing dengan cara yang betul, mereka berpotensi memudaratkan diri sendiri bahkan masyarakat lain di sekitar mereka termasuk keluarga.

“Mereka yang ingin menyertai projek percuma ini boleh terus hadir ke BK Peace House di Kota Kinabalu, kami menyediakan perkhidmatan nasihat dan kelas meditasi dengan peserta boleh memilih untuk ikuti kelas dalam bahasa Melayu, Mandarin, English dan Tamil,” katanya pada majlis pelancaran projek itu yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penilaian Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Lifred Wong, mewakili Mayor Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman di sini, malam tadi.

Nordin dalam teks ucapannya dibacakan oleh Lifred berkata, pihak DBKK menyokong projek anjuran BK dengan kerjasama Junior Chambers International kerana inisiatif berkenaan dilihat berupaya menjadi terapi alternatif bagi membantu proses pemulihan sekaligus mengurangkan jumlah penderita masalah mental dalam kalangan belia di negeri ini.

“Objektif projek ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan langkah yang perlu dilakukan oleh individu bagi mencapai tahap ketenangan hidup yang maksimum walaupun berdepan dengan persekitaran sosial dan ekonomi yang mencabar pada masa kini.

“Projek ini secara amnya sasar generasi muda. Mereka perlu didedahkan dengan kebaikan bermeditasi yang memberi manfaat kepada kesihatan mental, stres dan amarah. Ia juga baik untuk meningkatkan daya tumpuan selain melatih pengamalnya bertindak balas secara positif dan tidak mudah hilang kawalan bila berdepan masalah,” kata Nordin.

BK sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memiliki cawangan di lebih 100 negara.

NGO yang berkonsepkan kesukarelawanan itu berperanan menganjurkan projek, kursus-kursus kerohanian dan latihan meditasi kerohanian secara percuma kepada masyarakat dengan objektif untuk mewujudkan suasana kehidupan masyarakat yang harmoni serta aman.

Di negara ini terdapat kira-kira 30 cawangan BK dan ibu pejabatnya beroperasi di Asia Retreat Centre (ARC), Dengkil, Selangor.– BERNAMA