BRENNDON TERIMA WATIKAH LANTIKAN PEGUAM BESAR NEGARA

KOTA KINABALU: Bekas Presiden Pertubuhan Undang-Undang Sabah, Brenndon Keith Soh hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu.

Brenndon, 43, dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sabah berkuatkuasa 11 Julai 2020 sehingga 10 Julai 2022.

Beliau menggantikan Datuk Zaleha Rose Pandin yang telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman,

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelantikan Brenndon telah mendapat perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

“Beliau (Brenndon) merupakan anak tempatan Sabah dan merupakan tokoh dalam bidang undang-undang serta mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangaan.

“Saya yakin dengan pelantikan ini beliau boleh membantu memantapkan dan memperkukuhkan lagi kedaulatan undang-undang di peringkat Sabah. Saya yakin pelantikan beliau juga dapat membantu memperbaharui beberapa undang-undang negeri yang sudah agak lama dan perlu ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, Brenndon berkata sebagai Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu, beliau berjanji untuk menegakkan kedaulatan undang-undang yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri, selain akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pejabat peguam besar Sabah akan terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan dan rakyat untuk memastikan semua undang-undang yang ada bukan sahaja sesuai, tetapi praktikal,” katanya.-http://beritasabah.com