COVID-19 : MALAYSIA CATAT 21 LAGI KES BAHARU

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat 21 lagi kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini sebanyak 8,861 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, lima adalah kes import manakala 16 lagi kes jangkitan tempatan.

Daripada lima kes import yang dilaporkan, tiga adalah warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

Kes import itu adalah membabitkan dari Singapura (1 kes), Australia (1 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes) dan Qatar (1 kes).

Sementara itu daripada, 16 kes penularan di dalam negara pula, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tiga kes adalah di kalangan bukan warganegara.

Lapan kes jangkitan dalam negara dikesan dari Kluster Sentosa di Sarawak.

Selebihnya masing-masing di Kuala Lumpur (dua kes daripada Kluster PUI Ramnad), Selangor (satu kes daripada Kluster PUI Al Khobar), Johor (satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang) dan Pahang (satu kes daripada Kluster Elsa).

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan tiga lagi kluster iaitu Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster Elsa.

KKM turut memaklumkan tiga lagi pesakit telah sembuh dan discaj, hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh di negara ini ketika ini sebanyak 8,577 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 161 kes.

Sehingga kini, lima kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif korban wabak itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).-http://beritasabah.com