LAHAD DATU: Seekor buaya membaham seorang kanak-kanak ketika sedang mandi sungai bersama seorang rakan di Kampung Sabah Baru, dekat sini, petang tadi.
Terkejut melihat kejadian itu, rakannya bergegas pulang memaklumkan insiden tersebut kepada bapa mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis yang menerima maklumat kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meminta bantuan operasi mencari mangsa.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 20 meter daripada lokasi rumah mangsa.
“Selepas beberapa jam pencarian, mayat mangsa yang berumur 8 tahun itu akhirnya berjaya ditemui terapung kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di pinggang, perut dan dada. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat,” jelasnya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ