OP MABUK, LIMA DITAHAN DALAM KEADAAN “PANING-PANING”

PENAMPANG: Op Mabuk di Jalan Bundusan malam tadi telah mengadakan pemeriksaan terhadap 60 kenderaan di sini.

Lima pemandu ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi yang bermula jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata,  kelima-lima individu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1887 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

“Polis turut mengeluarkan 12 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, operasi itu dilakukan antaranya membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang boleh membahayakan keselamatan orang lain.

“Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol bagi mengelak daripada risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Operasi tersebut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kolaborasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah.