KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan penyelewengan minyak diesel, petrol dan minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM478,062 selepas menyerbu sebuah gudang di Labuan dan Semporna.
Serbuan itu turut menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan minyak subsidi berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya mengesan sebuah gudang di Labuan yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak secara haram.
“Dalam serbuan 3.40 petang itu, menemui tiga tangki jenis intermediate bulk container (IBC) yang di dalamnya terdapat minyak diesel. Selain itu terdapat sembilan tangki IBC yang mengandungi 8,500 kilogram minyak masak.
“Sebanyak 2,600 liter minyak diesel dirampas dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM370,324.
“Seorang individu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, di Semporna, beliau berkata pasukan PPM Semporna dan Lahad Datu berjaya merampas 153 tong berisi minyak petrol serta dua bot di kawasan Kampung Batu, di sini.
“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM107,738.50. Dua individu ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. PPM akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ