BUKAN DICULIK SEBALIKNYA DIDAKWA DISEMBUNYIKAN MAKHLUK HALUS

SIPITANG: Berita kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Kelangsat, di sini, semalam, bukan diculik sebaliknya didakwa disembunyikan makhluk halus.

Dalam satu kenyataan yang viral di media sosial semalam, kanak-kanak terbabit pada awalnya didakwa diculik sehingga menimbulkan kegusaran orang awam di daerah berkenaan.

Bagaimanapun siasatan polis di lokasi mendapati, beberapa penduduk kampung mendakwa insiden itu sebenarnya berkaitan dengan kejadian makhlus halus.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis segera dikerah ke kampung berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, hasil temubual dengan Ketua Kampung yang dikenali sebagai Matius Balau dan beberapa penduduk kampung mengesahkan mangsa dipercayak disembunyikan makhluk halus.

“Kejadian didakwa berlaku pada waktu Maghrib kira-kira jam 6.30 petang. Mangsa yang hilang dikatakan ditemui di belakang rumah ketua kampung sendiri.

“Mangsa didakwa ditemui di kawasan tanah lapang dalam keadaan telentang sambil tangan di lekap atas dada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, keadaan mangsa ketika ini dikatakan masih lemah dan ahli keluarga mangsa juga sedang mengadakan kenduri selamat dengan menyembelih ayam dan kerbau untuk menolak bala mengikut kepercayaan mereka.-http://beritasabah.com