Bukan sekadar luluskan, libatkan juga Ahli Parlimen gubal undang-undang: Madius

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), menggesa peranan Ahli Parlimen bukan sekadar meluluskan undang-undang, tapi dilibatkan dalam penggubalannya jika pemerintah benar-benar mahukan reformasi.

Presiden Wilfred Madius Tangau berkata sekarang wakil rakyat kebiasaannya dinilai pada kemampuan mereka menjalankan kerja kebajikan, walaupun mereka akan paling memberi impak kepada kehidupan rakyat melalui penggubalan undang-undang dan dasar.

“Kita mahu lihat outputnya – apa undang-undang kita buat, apa dasar yang kita buat,” kata Tangau dalam wacana “Masa Depan Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia” semalam.

“Sejak empat penggal dalam Dewan Rakyat, belum pernah saya nampak satu Rang Undang-undang (RUU) yang ada diubah. Noktah pun tidak berubah langsung.”

Beliau berkata amalan sekarang RUU dibuat di pihak kerajaan – mendorong beliau mempersoalkan apakah peranan cabang legislatif sekadar meluluskan apa yang ditentukan cabang eksekutif.

“Adakah, sebenarnya, Ahli Parlimen itu terlibat secara langsung dalam mendraf atau menggubal dasar dan undang-undang, atau kita hanyalah pelulus? Jadi selama ini kita pelulus lah sebab semua RUU dibuat oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Madius berkata penggubalan undang-undang tidak patut didominasi oleh kerajaan.

“Kita ini nampak matang bila berbahas di Parlimen tapi yang kita nak lihat adalah hasilnya,” katanya.

Sekiranya pemerintah benar-benar mahukan reformasi Parlimen, Tangau menggesa Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan dan ia haruslah memberi kuasa kepada Parlimen untuk mendraf undang-undang.

“Apa yang kita mahu sekarang ahli Parlimen berfungsi sebagai penggubal undang-undang ‘sepanjang masa’, bukan hanya semasa Parlimen bersidang,” tambahnya.

Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Akta Perkhidmatan Parlimen bakal diperkenalkan semula, bagi memberi kebebasan kepada Parlimen.