KKM sahkan Malaysia bebas sepenuhnya dari wabak polio

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar Malaysia bebas daripada wabak polio, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima perutusan rasmi pengisytiharan rasmi dari Pejabat Perwakilan WHO semalam.

Beliau berkata, pengisytiharan itu susulan penilaian teliti pasukan penilai yang terdiri daripada panel antarabangsa terhadap usaha Malaysia mengawal dan mencegah wabak itu.

“Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia diiktiraf dan berjaya menghentikan wabak polio yang telah kita kesan pada 2019 di Sabah dan kita ambil langkah tertentu untuk pastikan wabak ini dapat dikawal.

“Alhamdulillah, semalam kita terima pengesahan daripada WHO bahawa wabak polio (di negara ini) telah tamat,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Hospital Pulau Pinang hari ini.

Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal, selain kegagalan bernafas sehingga membawa maut.

Pada awal Disember 2019, Malaysia mengesan kes polio pertama membabitkan bayi berusia tiga bulan di Tuaran, Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada wabak berkenaan.

Kali terakhir wabak itu dilaporkan di negara ini adalah 1992 dan kali terakhir ia menjadi wabak adalah 1977, dengan 121 kes direkodkan.

WHO kemudian mengisytiharkan Malaysia bebas polio pada 2000.

Mengulas situasi di Hospital Pulau Pinang, Khairy berkata, terdapat keperluan mendesak untuk kes pembedahan kritikal yang perlu dilakukan segera, selepas beberapa bilik pembedahan di hospital itu diubah suai untuk merawat pesakit Covid-19.

Justeru, beliau akan berunding dengan hospital swasta supaya membenarkan dewan bedah mereka disewa untuk kegunaan pakar dari Hospital Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan berisiko tinggi.

“Kita dapati untuk buat pembedahan kritikal, hospital dan pakar swasta enggan terima pembedahan berisiko tinggi, mereka tak mahu tanggung risiko tersebut.

“Tetapi, pakar pembedahan dari Hospital Pulau Pinang sanggup buat pembedahan di dewan pembedahan hospital swasta,” katanya yang meminta Ketua Setiausaha KKM segera berunding dengan hospital swasta di negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *