KOTA KINABALU: Pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus, mengakui menggalas tugas yang mencabar untuk mengekalkan prestasi Sang Badak berikutan pengunduran bekas ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee.
Kim Swee mengakhiri tugasnya ketika Sabah FC menentang PT Athletic FC pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lalu.
Beliau dilaporkan bakal berhijrah ke Indonesia bagi mengendali skuad Persatuan Sepak Bola Indonesia Surakarta (PERSIS) Solo yang bermain dalam Liga 1 Indonesia.
Berikutan itu, Alto kini menggalas tugas pertamanya mengambil alih kedudukan Kim Swee pada perlawanan kedua saingan berkenaan di lokasi yang sama, malam esok.
Katanya, Kim Swee meninggalkan pasukan ketika sedang berada di kemuncak dan pada tahap tertinggi, menjadikannya sebagai cabaran besar kepada beliau untuk mengekalkan pencapaian itu.
Beliau bagainanapun meletakkan keyakinan terhadap kemampuan dan tahap profesional pemain Sang Badak untuk memastikan prestasi terbaik Sabah ketika ini dapat dikekalkan.
“Bagi saya secara peribadi bukan tugas mudah berada di sini untuk menggantikan Datuk Ong Kim Swee, termasuk mengekalkan corak yang diterapkannya kepada semua pemain.
“Tapi, saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sendiripun dididik Datuk Ong Kim Swee. Jadi bukan masalah besar untuk mengekalkan prestasi Sabah FC jika semua pihak memberikan kerjasama dengan sebaiknya,” katanya.
Alto berkata beliau yakin ketika ini Sabah FC berada di landasan terbaik dan berupaya mengekalkan prestasi sedia ada untuk memastikan skuad Sang Badak itu terus menjadi pasukan bola sepak yang disegani.
“Apa yang boleh saya katakan di sini, semua pihak perlu memberikan sokongan berterusan seperti mana mereka memberikan sokongan kepada Datuk Ong Kim Swee sebelum ini.
“Pemain sedia ada sememangnya sudah serasi dengan pendekatan diterapkan Kim Swee sebelum ini, jadi kita akan pastikan dan berusaha untuk mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama,” katanya. – Info
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi