24 Pati ditahan di kawasan setinggan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Operasi Penguatkuasaan di kawasan rumah setinggan di daerah ini, semalam.

Operasi selama empat jam bermula kira-kira 12 tengah malam itu membabitkan kekuatan seramai 63 pegawai dari JIM Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Turut serta dalam operasi itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha dan Pengarah Bahagian Operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Basri Othman.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan daripada aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

“Seramai 53 individu diperiksa dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 24 Pati ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan iaitu tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6(1)(c).

“Pati yang ditahan terdiri daripada warga Filipina iaitu seramai 16 lelaki dewasa, empat wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Manakala seorang warga Indonesia dan semua yang ditahan berusia antara lima bukan hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan susulan.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi itu, beliau berkata kesukaran akses ke kawasan setinggan dengan keadaan struktur rumah yang tidak teratur serta berlumpur menyukarkan anggota penguatkuasa dalam menjalankan operasi.

Selain itu, katanya kawasan rumah setinggan berkenaan yang berbukit-bukau juga memberi kesukaran kepada kenderaan penguatkuasa untuk memasuki kawasan berkenaan.

“Namun operasi telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“JIM mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehadiran Pati atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkenaan,” katanya. – Info X