KOTA KINABALU: Pemuda UPKO mengecam tindakan parti PBS, Star, Umno, PPBM dan parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi sokongan penuh kepada cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggunakan IMM13 untuk seragamkan dokumen warga asing di Sabah.
Ketua Pemuda UPKO Malaysia Felix Joseph Saang berkata, “masih segar dalam ingatan kita bagaimana pemimpin seperti Datuk Dr Jeffery Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan beberapa pemimpin lain yang begitu lantang melaungkan agar kesemua warga asing ini harus dihantar pulang sahaja.”
“Mereka menentang dan membantah apa juga cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan. UPKO sendiri telah menjemput beberapa pemimpin ini untuk mengadakan rundingan dan perbincangan tetapi mereka menolak dan terus menjadikan isu pendatang asing sebagai bahan kepentingan politik mereka sahaja,” katanya.
“Selepas bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Umno, PAS dan segelintir pemimpin PPBM pro Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan sekelip mata pendirian mereka bertukar dan bersetuju agar IMM13 ini diberikan kepada warga asing. Ini merupakan satu ‘U-Turn’ yang amat mengejutkan.
“Menurut Jonathan Yassin, Timbalan Menteri KDN, IMM13 ini tidak diiktiraf oleh Kerajaan Filipina. Jadi bagaimana pemberian IMM13 kepada warga asing Filipina ini boleh menyelesaikan masalah ini?
“Selain daripada warga Filipina, bagaimana pula dengan pendatang asing yang lain seperti Indonesia dan Pakistan. Bagaimana Kerajaan PN selesaikan isu ini, adakah mereka juga diberikan dokumen yang serupa?,” soal beliau.
“Apakah jaminan bahawa semua dokumen kad burung-burung, kad banci dan pemegang IMM13 itu sahih? Kita tahu dokumen seperti IMM13 ini pernah dipalsukan sebelum ini. Apa jaminan Kerajaan PN ianya tidak akan berlaku?,” tanya Felix.
Felix juga mempersoalkan ciri-ciri keselamatan pemegang IMM13 itu kelak.
“Berapa lama tempoh yang diberikan kepada pemegang IMM13 ini? Adakah mereka akan menjadi warganegara?
“Apa kaedah yang diguna pakai untuk mengenal pasti kesemua pemegang IMM13 yang sudah berada di Sabah berpuluh-puluh tahun lamanya.
“Bagaimana dengan anak cucu mereka ataupun yang sudah berkahwin dengan orang tempatan?”
Felix juga mempersoalkan tindakan Kerajaan PN yang enggan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah tentang isu ini.
“Bukan kah Star bercadang untuk mengadakan forum dalam hal ini? Apakah pemimpin Sabah yang berada dalam Kerajaan PN ini tidak dibenarkan memberi pandangan atau membuat keputusan dan hanya menjadi pemimpin ‘Yes Man’,” ujar Felix.
Menurutnya, pemberian IMM13 ini jelas menunjukkan bahawa soal warga asing ini adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Sabah tiada kuasa dalam perkara ini. Perlu kita ingat bahawa cadangan PSS telah diumum oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan yang lalu.
Felix menegaskan laporan, cadangan dan rekomendasi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah sebelum ini perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat.
“Adakah pemimpin Sabah yang berada dalam Kerajaan PN tidak berminat langsung untuk melihat hasil laporan tersebut?”
Menurutnya, Menteri KDN dan Kerajaan PN tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri sewenang-wenangnya dalam hal yang begitu kritikal bagi negeri Sabah.
“Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui dan memberi cadangan dalam perkara ini.
“Saya melihat pemberian IMM13 ini tidak mempunyai terma-terma yang jelas dan terlalu banyak ruang untuk dimanupulasi. Banyak persoalan yang perlu dijawab kerana ianya amat membimbangkan rakyat Sabah,” katanya lagi.-http://beritasabah.com
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam