CALON PM – ANWAR PILIHAN UTAMA NAMUN SHAFIE JUGA PERLU DIBERI PELUANG

KOTA KINABALU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama DAP dan Amanah nasional untuk menjadi calon Perdana Menteri (PM) namun dua parti itu juga berpendapat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu diberi peluang.

Perkara itu diumumkan DAP dan Amanah dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, semalam.

Menurut kenyataan berkenaan, jawatan tertinggi negara itu harus diberikan kepada Anwar sekiranya beliau mendapat sokongan 112 undi di parlimen dengan 109 undi akan datang daripada PH, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Tun Mahathir Mohamad serta bekas ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang kini MP bebas.

“Langkah ini bagi membolehkan Anwar mendapat peluang membentuk kerajaan. Namun, sekiranya gagal memperoleh sokongan maka, Datuk Seri Mohd Shafie perlu diberi peluang yang sama dan kedua-duanya akan mendapat sokongan 109 MP dari PH, Warisan dan MP bebas,” kata mereka.

Guan Eng dan Mohamad Sabu turut berpendapat mana-mana pihak sama ada Anwar atau Shafie yang memperoleh 112 sokongan MP harus diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan pakatan kerana pada akhirnya, fokus utama DAP dan Amanah adalah mengembalikan semula mandat rakyat.

Menurut kenyataan itu juga, DAP dan Amanah tidak bersetuju dengan cadangan PH boleh berbincang dengan mana-mana MP dengan 91 kerusi yang dimiliki setelah mengenepikan Warisan dan pasukan Tun Mahathir.

“Kami juga tidak setuju dengan cadangan untuk melakukan perubahan dengan sokongan 71 MP PH tanpa penglibatan 38 MP PKR.

“Malah ada yang menyatakan jika tiada penyelesaian kepada persoalan siapa jadi PM, parti ini harus kekal sebagai pembangkang dan tunggu sehingga pilihan raya umum (PRU).

“Jika ingin memenangi PRU akan datang sebagai PH sahaja atau tanpa PH, ia agak sukar. Hanya PH plus melibatkan PH, Warisan dan kumpulan Tun Mahathir sahaja merupakan gabungan tepat untuk memenangi PRU,” kata mereka.

Dua parti itu berpendapat, mereka perlu bersatu dan bukannya berpecah bagi membentuk semula kerajaan dan mereka tidak boleh berputus asa dengan mengkhianati mandat yang diberikan rakyat pada 9 Mei 2018.

“Jika kita tidak mengambil alih semula kerajaan secepat mungkin, ia hanya memberi ruang kerajaan yang dibentuk melalui langkah Sheraton dan tidak dipilih melalui amalan demokrasi kekal sebagai kerajaan. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Sejak langkah Sheraton, bekas MP kerajaan PH termasuk DAP dan Amanah bekerja keras bagi mengembalikan semula mandat rakyat,” kata mereka.

Tambah mereka, persoalan siapa PM seterusnya tidak harus menghalang PH plus mengembalikan semula mandat rakyat dan terus kekal sebagai pembangkang hanya disebabkan kegagalan memutuskan siapa hendak dipilih sebagai PM.

“Kegagalan mencapai persetujuan menentikan calon PM memberi gambaran bahawa kita lebih obses dengan jawatan daripada mengembalikan semula mandat rakyat yang kita perolehi semasa PRU 2018,” ujarnya.

Dalam kenyataan bersama itu, DAP dan Amanah berpendapat pencalonan Presiden Warisan (Shafie) itu dilihat dapat membantu menyelesaikan kebuntuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar dalam pelantikan PM.

Cadangan pencalonan Shafie itu dibuat dalam pertemuan tidak rasmi di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu yang dihadiri pemimpin AMANAH, DAP, WARISAN dan kumpulan Tun Mahathir, bertujuan mencari jalan memecahkan kebuntuan pemimpin dalam parti terbabit.

Tun Mahathir ketika itu menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga.

“Sebaliknya dia menawarkan dirinya sebagai calon jawatan Perdana Menteri untuk membantu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak terpilih dan untuk mengembalikan pemerintahan yang dipilih secara sah,” ujar mereka.

Dalam konteks inilah Guan Eng memberi cadangan yang kemudian disokong Mohamad, bahawa Shafie selaku calon ketiga yang dilihat dapat menyelesaikan kebuntuan antara Tun Mahathir dan Anwar.

“Tun Mahathir setuju mencadangkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri hanya dalam masa dua minit selepas cadangan itu dicetuskan oleh DAP dan Amanah. Tun mengulangi bahawa ia bukan mengenai dia menjadi Perdana Menteri tetapi untuk menyelamatkan negara dan mengembalikan mandat rakyat.

“Selain itu, ia bagi membantu mengurangkan permusuhan PKR terhadap Tun Mahathir.

“Pencalonan Shafie juga akan menjadi pilihan bersejarah, buat pertama kali pemimpin dari Sabah atau Sarawak dicadangkan sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu lagi.-http://beritasabah.com