CHRISTINA SARAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PERTIMBANG INSENTIF KHUSUS BANTU PENGUSAHA PELANCONGAN

KOTA KINABALU: Datuk Christina Liew (PKR-Tawau) menyarankan Kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan insentif khusus (stimulus package) bagi membantu pengusaha pelancongan di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata antara yang dicadangkan termasuklah melanjutkan tempoh moratorium serta program subsidi gaji sehingga bulan Disember tahun ini.

“Ini bagi meringankan beban syarikat-syarikat pelancongan di negara kita yang kini hilang sumber pendapatan pada masa ini,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di ibu negara, hari ini.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia Mac lalu, kemasukan pelancong telah menurun secara drastik.

“Pada dua bulan pertama tahun ini, Sabah mencatatkan kedatangan pelancong yang memberangsangkan iaitu pada bulan Januari 2020, seramai 338,570 pelancong telah melawat Sabah dan pada bulan Februari membabitkan kemasukan pelancong seramai 211,995 orang walaupun ketika itu Kerajaan Negeri memberhentikan kemasukan pelancong dari negara China pada 31 Januari disebabkan kebimbangan penularan virus Corona pada masa itu.

“Bagaimanapun, statistik menunjukkan dari Januari hingga Mac 2020, kemerosotan adalah sebanyak 52.7 peratus untuk pelancong antarabangsa serta 21.3 peratus untuk pelancong domestik dan secara keseluruhan adalah penurunan sebanyak 32.6 peratus.

“Dengan ketiadaan penerbangan antarabangsa mahupun domestik sebelym ini juga, bulan April dan Mei telah menunjukkan penurunan yang paling teruk iaitu sebanyak 98 peratus,” katanya.

Sementara itu, Christina turut bertanya mengenai status ‘tourism tax’ yang di kumpul untuk tahun 2019 dan beliau juga menyeru kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberikan keseluruhan 100 peratus kepada negeri-negeri supaya dapat memberi bantuan sewajarnya kepada industri pelancongan negeri.

Pada sesi perbahasan itu, beliau turut mengulangi seruan terhadap beberapa cadangannya ketika berucap pada sidang parlimen tahun lalu termasuklah mempertimbangkan agar memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri khusus untuk pengawalan dan perlesenan pelancongan.

“Ianya termasuklah lesen masuk dan keluar untuk ejen pelancongan, lesen pemandu pelancong, lesen bas-bas pelancong, lesen tiket, dan lesen atau permit untuk mengendalikan sekolah atau institusi pelancongan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menyeru kepada Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Pemberian kuasa ini akan dapat memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia dan mengemaskini peraturan industri yang sesuai dengan perkembangan di dalam negeri.

“Saya percaya ini juga dapat memberi faedah kepada kerajaan pusat jika industri pelancongan negeri dapat membangun secara pesat dan teratur menerusi kerajaan negeri,” katanya.